Peraturan Bola sepak Amerika

Padang

Nombor-nombor di atas padang menandakan jarak dari zon hujung terdekat.

Padang bola sepak Amerika adalah seluas 360 kaki kali 160 kaki (109.7 kali 48.8 meter). Garisan tepi (sidelines) menandakan sempadan tepi panjang, manakala garisan hujung (endlines) menandakan sempadan tepi pendek. Garisan gol (goal line) terletak di dalam kawasan padang dekat garisan hujung. Jarak garisan gol dari satu hujung ke hujung berhadapan ialah 100 ela. Kawasan antara garisan gol dan garisan hujung dikenali sebagai zon hujung (end zone).

Garisan ela (yard lines), yang selari dengan garisan gol dan hujung, ditandakan setiap lima ela. Garisan ela pula dinomborkan setiap 10 ela sehingga garisan 50 ela. Dua baris tanda cencang (hash marks), iaitu garisan pendek selari dengan garisan ela, dilukis dekat kawasan tengah padang setiap satu ela. Setiap urutan mainan mesti bermula atas atau di antara tanda cencang.

Dua tiang gol (goal posts) yang disangga oleh palang gol (crossbar) setinggi 10 kaki terletak di belakang zon hujung. Tiang-tiang mempunyai jarak 18 kaki 6 inci antara satu sama lain.

Pemain

Setiap pasukan mempunyai 11 pemain di atas padang. Semua pemain boleh digantikan pada tempoh masa antara urutan mainan. Jumlah penggantian pemain dalam perlawanan juga tidak dihadkan. Oleh itu, pemain-pemain hanya menjalankan tugas tertentu yang khusus. Mengikut keperluan, pasukan-pasukan akan memilih dan mengaturkan pemain-pemain dalam tiga bentuk: menyerang (offense) ketika memegang bola, bertahan (defense) ketika tidak memegang bola, dan pasukan khas (special teams) ketika menendang bola untuk memulakan perlawanan, tendang lepas (punt), cuba menjaring gol padang (field goal) dan lain-lain.

Permulaan perlawanan

Sebelum perlawanan, lambungan duit diadakan untuk menentukan pasukan mana yang menendang bola untuk memulakan perlawanan (tendang mula, kickoff) serta hujung mana dipertahan oleh pasukan masing-masing. Pengadil mengendalikan lambungan dengan kapten kedua-dua pasukan. Pasukan yang memenangi lambungan dapat menentukan:

  1. sama ada untuk tendang mula atau menerima tendangan mula pasukan lain
  2. hujung mana untuk mempertahankan.
  3. menangguhkan keputusan kepada pasukan lain, supaya dapat satu peluang lagi untuk memilih sama ada menendang atau bertahan pada separuh masa kedua.

Jika pasukan ini memilih untuk menendang atau bertahan, pasukan lain diberikan pilihan untuk mempertahankan hujung yang mana.

Pada permulaan separuh masa kedua, pilihan-pilihan di atas diberikan kepada pasukan yang tidak membuat pilihan dahulu pada separuh masa pertama.

Tempoh perlawanan

Setiap perlawanan terdiri daripada empat sukuan (quarters) selama 15 minit. Separuh masa (halves) pula terdiri daripada dua sukuan. Jam dalam bola sepak Amerika membilang bawah, iaitu jumlah masa dikurangkan sehingga sifar semasa perlawanan berlangsung. Jam berhenti membilang selepas peristiwa-peristiwa dalam permainan yang tertentu. Oleh itu, perlawanan bola sepak Amerika biasanya mengambil masa selama tiga jam.

Dalam NFL, kalau kedua-dua pasukan seri selepas empat sukuan, masa tambahan (overtime) selama 15 minit diadakan. Peraturan suntuk dadak digunakan, iaitu pasukan yang menjaringkan mata dahulu dalam masa tambahan menang. Namun begitu, dalam perlawanan pascamusim, kalau pasukan yang memegang bola dahulu hanya berjaya menjaringkan gol padang, pasukan lain akan mendapat peluang membalas jaringan. Pada musim tetap, kalau kedua-dua pasukan gagal menjaringkan mata dalam masa tambahan, perlawanan itu dianggap seri. Dalam pascamusim, masa tambahan diadakan sehingga satu pasukan menang.

Peraturan masa tambahan pada tahap kolej berbeza dengan NFL. Dalam masa tambahan perlawanan kolej, pasukan-pasukan bergilir-gilir menyerang dari garisan 25 ela. Jam tidak digunakan, dan pasukan yang menjaringkan jumlah mata yang lebih selepas satu pusingan masa tambahan menang.

Menggerakkan bola

Pasukan menyerang (offense) yang memegang bola mempunyai empat cubaan (downs) untuk memajukan bola sekurang-kurangnya 10 ela menujui zon hujung pasukan lain. Apabila pasukan menyerang berjaya memajukan bola 10 ela, mereka mendapat cubaan pertama baru (first down), iaitu mereka mendapat empat cubaan baru untuk mara lagi sekurang-kurangnya 10 ela. Jika pasukan menyerang gagal mendapat cubaan pertama baru selepas empat cubaan, pasukan lain dapat memegang bola di tempat cubaan keempat dahulu berhenti. Pasukan ini mula menggerakkan bola ke arah lawan.

Setiap urutan mainan dimulakan dengan naikan (snap). Pemain menyeran berdiri menghadap pemain bertahan di garisan skrum (line of scrimmage). Satu pemain menyerang, pemain tengah (center) "menaikkan" bola dari lantai menerusi ruang antara dua kakinya kepada rakan sepasukan di belakangnya, iaitu pemain suku belakang (quarterback).

Selepas itu, pasukan menyerang boleh menggerakkan bola melalui:

  • berlari sambil memegang bola.
  • membuat hantaran kepada pemain sepasukan. Pasukan menyerang hanya boleh membuat hantaran ke arah depan hanya satu kali dalam satu cubaan. Pemain yang membuat hantaran itu mesti berada di belakang garisan skrum. Namun, bola boleh diserahkan kepada pemain lain (handoff) atau dilontar ke arah belakang dan tepi seberapa kali dalam satu cubaan.
Seorang pemain ditumbangkan.

Bola dianggap mati (dead ball) dan cubaan tamat apabila:

  • pemain yang memegang bola ditumbangkan ke atas lantai atau diberhentikan bergerak ke hadapan oleh pasukan bertahan.
  • bola hantaran arah depan keluar dari padang (out of bounds) atau terkena lantai padang sebelum ditangkap.
  • pemain yang memegang bola bergerak ke luar padang.
  • satu pasukan menjaringkan mata.

Tukaran milik bola

Pasukan menyerang terus memegang bola kecuali jika:

  • mereka gagal mendapat cubaan pertama baru selepas empat cubaan. Pasukan lain diberikan bola, dan memulakan cubaan pertama meraka di tempat akhirnya cubaan terdahulu (turnover on downs).
  • mereka berjaya menjaringkan touchdown atau gol padang. Selepas jaringan, pasukan menyerang pula menendang bola kepada pasukan lain untuk memulakan lagi perlawanan.
  • pasukan menyerang melakukan tendangan lepas (punt). Pasukan bertahan akan menerima bola yang ditendang di kawasan yang lebih dekat dkepada zon hujung mereka. Pasukan-pasukan biasanya berbuat demikian ketika cubaan keempat. Tendangan lepas dibuat jika pasukan menyerang gagal mendapat cubaan pertama baru tetapi inginkan pasukan lain memulakan cubaan pertama di kawasan sejauh semungkin dari zon hujung sendiri.
  • pasukan bertahan berjaya menangkap hantaran bola oleh pasukan menyerang (pintasan, interception). Pemain yang menangkap bola boleh bergerak sehingga dia ditumbangkan, ditolak keluar dari padang, atau menjaringkan touchdown.
  • pasukan menyerang melepaskan bola (fumble), dan akibatnya pemain bertahan berjaya mendapatkan bola (fumble recovery).
  • pasukan menyerang cuba tetapi gagal menjaringkan gol padang.
  • pemain menyerang yang memegang bola ditumbangkan atau ditolak keluar padang ketika berada di zon hujung, atau memegang bola di zon hujung ketika pasukan penyerang melonggar peraturan.

Jaringan

Berikut ialah cara-cara menjaringkan mata:

  • Touchdown (TD): 6 mata. Pemain menyerang berlari sambil memegang bola ke dalam zon hujung, ataupun menerima hantaran bola di zon hujung. Selepas satu pasukan mendapat touchdown, mereka boleh mengumpul lebih mata melalui:
    • Mata tambahan (Extra point/Point after touchdown, PAT): 1 mata. Pasukan menyerang berjaya menendang bola yang diletakkan atas garisan 2 ela (3 ela pada tahap kolej) melalui tiang-tiang gol selepas menjaringkan touchdown.
    • Konversi dua mata (Two-point conversion): menjaringkan satu lagi touchdown dari garisan 2 ela (atau 3 ela).
  • Gol padang (Field goal, FG): 3 mata. Pasukan menyerang berjaya menendang bola melalui tiang-tiang gol dari mana-mana kedudukan atas padang. Biasanya bola diletakkan secara tegak di atas padang (oleh pemegang, holder) lalu ditendang oleh penendang (kicker). Pasukan-pasukan biasanya cuba menjaringkan gola padang pada cubaan keempat
  • Jaringan selamat (Safety, S): 2 mata. Bola dimatikan ketika pasukan menyerang memegang bola di zon hujung sendiri. Ini termasuk pemain yang memegang bola ditumbangkan di zon hujung, keluar padang di zon hujung atau melepaskan bola ke luar padang di zon hujung.

Tendang mula

Separuh masa pertama dan kedua bermula dengan tendang mula (kickoff). Tendang mula juga dilakukan selepas satu pasukan menjaringkan mata. Bola ditendang dari garisan 30 ela. Sebelum tendang mula, pemain-pemain pasukan menendang (termasuk penendang) akan berdiri di belakang garisan 30 ela. Pemain-pemain pasukan lain, iaitu pasukan menerima tendangan akan berdiri di kawasan hadapan pasukan menendang, dan menunggu sehingga bola ditendang. Apabila bola ditendang oleh penendang, pemain-pemain lain akan maju ke depan untuk menghentikan pasukan menerima tendangan daripada menggerakkan bola.

Seorang pemain pasukan menerima tendangan, pengembali tendangan (kick returner) akan menangkap bola lalu cuba menggerakkan bola ke arah zon hujung pasukan menendang sejauh semungkin. Selepas itu, pasukannya akan memulakan pacuan (drive) dari tempat dia dihentikan. Pacuan ialah urutan cubaan pasukan menyerang untuk memajukan bola.

Sebelum bola yang ditendang bergerak 10 ela ke arah hadapan, ia tidak boleh disentuh oleh pasukan menendang.

Penalti

Pasukan yang melanggar peraturan akan dihukum dengan penalti. Biasanya, bola digerakkan ke tempat lebih dekat kepada zon hujung pasukan itu. Jika sesuatu faul berlaku, pengadil akan menjatuhkan kain penalti (penalty flag) berwarna kuning ke atas lantai.

Berkaitan